MENYONGSANG EKO SISTEM KOLEJ VS PESAN BAKAL PM-8



Masih terngiang-ngiang di ingatan kami berkenaan pesanan bakal PM-8 juga seorang aktivis dan idealis mahasiswa, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa ucapannya di Dectar UKM sempena MMM 2019 baru-baru ini:

”Para pelajar hendaklah berani ke hadapan, berkata benar dalam melawan politik kotor dan bobrok”.

Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) Sesi Akademik 2019/2020 telahpun melabuhkan tirainya beberapa hari yang lepas. Kami Republican UKM percaya semua mahasiswa baharu sudah kenal akan Ayahanda Pengetua kolej masing-masing. Namun apa yang begitu memeranjatkan kami pada kali ini iaitu perkembangan terkini di Kolej Keris Mas (KKM), kolej terbesar di UKM yang tiada Pengetua dan juga tiada Timbalan Pengetua.

Kami berasa sungguh simpati dan kasihan kepada semua mahasiswa khususnya yang baru sahaja mendiami  Kolej Keris Mas, yang diumpamakan baru sahaja mendapat surat kelahiran sebagai Bangsa Keris Mas, namun malangnya nasib mahasiswa ini seperti anak yatim piatu dengan ketiadaan ayahanda bernama Pengetua dan kekanda bernama Timbalan Pengetua.

Buat julung kalinya dalam sejarah 50 tahun penubuhan UKM, Bangsa Keris Mas terpaksa menadah telinga mendengar khutbah dari seorang individu yang digelar sebagai Pengurus dan Felo pada malam pertama MMM hingga ke hari penamat MMM baru-baru ini. Memang  ditebak dakwaan tiada apa-apa permasalahan tetapi sudah pastinya perkara sebegini akan menimbulkan rasa pelik dan musykil kerana semua kolej di UKM ini mempunyai Pengetuanya sendiri.

Maka telah timbul beberapa persoalan dengan kejadian ini apakah dengan ketiadaan Pengetua Kolej ialah satu langkah maju menuju ke hadapan atau ia sebenarnya 1000 langkah mundur menuju ke belakang dan adakah sebenarnya pihak universiti telah gagal melaksanakan pelan gantian sehinggakan akhirnya Bangsa Keris Mas yang terpaksa menanggung semua beban ini?

Kami Republican UKM percaya bahawa semua kolej kediaman di UKM ini bukan sekadar tempat untuk pelempias nafsu 3K (Katil,Komputer dan Kafe) sebaliknya kolej menjadi wahana untuk bersosial serta berinteraksi lintas agama dan budaya. Lebih dari itu, kolej juga merupakan lokasi strategik bagi mahasiswa untuk membina kemahiran insaniah melalui aktiviti kokurikulum yang menjadi merit untuk bermastautin di kolej. Kami berasa amat senang selama ini apabila kolej dijadikan sebagai ruang belajar kedua selain di fakulti kepada subjek Citra, kesukarelawan dan khidmat sosial.

Kami juga berpendapat bahawa telah menjadi secara tradisi yang mana Pengetua dan Timbalan Kolej diibaratkan menjadi nakhoda dalam menerajui pembangunan insan dan pemupukan moral di kolej kediaman. Kesemua universiti khususnya UKM telah diberi autonomi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk megurus eko sistem kolejnya sendiri. Dalam mengimarahkan lagi sambutan ke-50 Tahun UKM, menjadi universiti ketiga terbaik di Malaysia, UKM sewajarnya memfokuskan kepada mengemaskini kelopongan yang ada demi kebaikan pemegang taruhnya iaitu kami yang bergelar mahasiswa.

Akhir kata, kami Republican UKM sangat berempati dengan nasib yang telah ditimpa oleh rakan kami yang berada di Kolej Keris Mas menghadapi enigma ketiadaan Pengetua dan Timbalan Kolejnya. Di saat ketika rakan-rakan di kolej lain menikmati kasih sayang ayahanda dan kanda, Bangsa Keris Mas ini sudah tiada tempat berpaut, tiada pohon untuk berteduh. Mereka ini boleh diibaratkan ‘tersungkur menunduk meraung’ seperti yang terungkap dalam lirik lagu Luluh nyanyian Khai Bahar. Adakah dengan menterbalikkan eko sistem kolej satu kewajaran atau sebaliknya mengundang risiko?

Varsiti Ini Republik Kita

#KamiRepublican
#RepublicMahasiswa
#VarsitiIniRepublikKita
#MasukUKM

Fb : https://www.facebook.com/RepublicanUKM
Twitter : https://twitter.com/RepublicanUkm
Instagram : https://www.instagram.com/republicanukm/
Blogspot : http://republicanukm.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

Pages