Setiap daripada kita inginkan sebuah kehidupan kampus yang berkualiti, berupaya mengekpresikan hak peribadi tanpa ancaman, agihan kewangan aktiviti pelajar yang saksama dan juga kualiti perkhidmatan kebajikan yang mantap. Inilah yang diertikan dengan Keadilan Sosial. Tidak mahu tidak, semua manfaat ini hanya akan diperoleh melalui kuasa kerana kuasa yang akan menentukan SIAPA akan mendapat APA. Jika kuasa dipegang oleh mereka yang berkepentingan, maka segala nikmat ini hanya dirasai oleh mereka yang bersamanya dan selainnya akan ditindas! Namun jika kuasa dipegang oleh mereka yang ikhlas, maka kita semua yang akan merasai nikmatnya.
Keadilan sosial hanya mampu tercapai dengan wujudnya sebuah pemerintahan yang baik dan pemerintahan yang baik lahir dari sebuah masyarakat sivil yang subur dan dalam konteks di kampus adalah dengan kesuburan gerakan-gerakan mahasiswa yang membudayakan ilmu dan memiliki sifat kepedulian sesama kita semua. Kesuburan ini juga hanya mampu dilihat melalui penglibatan aktif oleh mahasiswa keseluruhannya. Jika kita tidak pedulikan dengan untung rugi dan nasib sesama kita mahasiswa, siapa lagi yang akan peduli dan prihatin? Perwakilan elitis kini begitu selesa berada di dalam pejabat pendingin hawa.
Tanggapan “politik kampus tidak penting dalam pengajian aku” hanya sebuah pemikiran palsu yang memberi ruang kepada mereka yang kebuluran kuasa. Tanggapan “ada orang lain yang akan memperjuangkan mahasiswa” hanya sebuah pemikiran palsu yang melemahkan ketumbukan mahasiswa demi mempertahankan hak kita semua. Namun, tanggapan “politik itu kotor” hanya akan membenarkan sang pelahap kuasa untuk mengotorkan politik dan menguntungkan kumpulan mereka sahaja.
Penglibatan mahasiswa dalam politik kampus bukannya sebuah pilihan tetapi sebuah kemestian. Penglibatan mahasiswa dalam politik kampus bukannya hak tetapi tanggungjawab. Tanggungjawab yang perlu dipikul untuk memastikan segala keputusan, dasar dan pekeliling universiti sentiasa disemak. Tanggungjawab untuk memastikan suara kita diwakili oleh pemimpin mahasiswa yang diundi. Suara mahasiswa adalah suara yang membentuk sebuah polisi. Suara mahasiswa adalah suara yang mencorak varsiti.
Kerana varsiti ini "Republic" kita. Jadi, ambil peduli!
No comments:
Post a Comment