KPT: PILIHANRAYA KAMPUS ERA MALAYSIA BAHARU


Dr. Iiya Somin, Profesor di Sekolah Undang-Undang Universiti George Mason dalam bukunya Democracy and Political Ignorance (2011) pernah melahirkan rasa bimbang sekiranya mahasiswa tidak diberikan ruang untuk berpolitik kerana ia bakal membantutkan proses pembentukan demokrasi yang berjaya.

Hal yang sama juga dibangkitkan oleh Profesor Meredith Rolfe, Felo di London School of Economics dalam buku beliau Voter Turnout (2012), dengan menjelaskan betapa lemahnya sistem demokrasi sekiranya mahasiswa tidak diperkenalkan dengan budaya berpolitik sejak zaman universiti.

Demi memastikan aspirasi mantan Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln supaya sistem pemerintahan diselenggarakan daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat direalisasikan, budaya politik kampus dengan kemeriahan wacananya harus kembali diperdanakan.
Ini selari dengan harapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11 kepada anak muda untuk “belajarlah segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Dapatkan segala kemahiran. Perkukuhkan jati diri. Pegang teguh pada agama dan nilai-nilai murni. Tolak rasuah dengan sekeras-kerasnya. Hayati kebenaran, kejujuran, keadilan.”

Kementerian Pendidikan komited untuk memastikan ekosistem universiti kembali pulih agar menjadi rahim terhadap lahirnya generasi unggul dan berdaya saing demi memacu negara ke arah kemajuan.
Dengan itu, mahasiswa akan diberikan kebebasan untuk berpolitik di kampus dengan cara yang sihat dan matang. Mahasiswa perlu ke depan untuk memberikan pandangan dan bersuara terhadap segala ketidaktelusan urus tadbir, di samping menjadi bahagian yang penting di dalam pembentukan dasar universiti.

Dalam Malaysia Baharu ini kuasa mahasiswa untuk menguruskan Pilihan Raya Kampus mereka sendiri akan dikembalikan. Pilihan Raya Kampus selama ini diuruskan oleh Hal Ehwal Pelajar setiap universiti.

Hal ini akan diubah demi menyuburkan kembali aspirasi politik kampus seperti yang ditekankan oleh Meredith Weiss, Profesor Sains Politik Universiti Albany dalam dua buah karya penting beliau iaitu Student Activism in Asia (2012) dan Student Activism in Malaysia (2011) ketika mengatakan:

“Jika sesebuah universiti ingin menghasilkan pemimpin dalam kalangan para mahasiswanya, seharusnya pengurusan universiti menyediakan persekitaran kampus yang meraikan persaingan kuat dalam kalangan mahasiswanya. Asalkan sahaja persaingan politik itu bersifat sihat dan semua pihak yang bertanding mematuhi peraturan universiti.”

Langkah pertama yang dilakukan ialah menyarankan kepada semua universiti untuk menunda Pilihan Raya Kampus bagi semester ini sama ada terus ke semester seterusnya atau sedikit lewat daripada kebiasaannya.

Hal ini dibuat untuk memberikan ruang kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar yang bertindak sebagai care taker untuk memulakan wacana kesedaran terhadap amalan demokrasi politik kampus yang sihat dan matang, dan dalam masa yang sama memperkenalkan calon dari pihak masing-masing.

Harapan saya semoga kembalinya amalan politik di kampus ini, kita dapat melahirkan pemimpin yang disegani dan cendekiawan yang dikagumi, kerana seperti kata Perdana Menteri kita, “sebahagian besar generasi saya telah pergi. Kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa dan negara ini, kalau tidak kepada generasi muda.”

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

Kredit: Sinar Harian (http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/pilihan-raya-kampus-era malaysia-baharu-1.895776)

No comments:

Post a Comment

Pages