MAHASISWA DIDENDA TANPA BICARA

ISU LATIHAN INDUSTRI: SALAH SIAPA ATAU SIAPA TERKESAN, MANA LEBIH PENTING?






Pada 7 Mei 2019, hangat diperkatakan mengenai isu denda RM 50.00 bagi pelajar yang lewat mendaftar bagi latihan industri semester hadapan. Tarikh pendaftaran yang ditetapkan pula hanya seminggu, iaitu pada 29 April 2019 hingga 5 Mei 2019. Isu yang timbul adalah sebilangan besar pelajar UKM Tahun 3 tidak mendapat makluman akan perkara ini dan menyebabkan ramai yang terlepas tarikh pendaftaran sehingga terpaksa membayar denda.

Permasalahan ini dilihat bukan berpunca daripada pelajar tetapi pengurusan maklumat yang tidak efektif. Namun, mengapa harus pelajar yang menjadi mangsa. Pihak pentadbiran UKM seperti bersifat acuh tak acuh dan mengabaikan suara pelajar tahun akhir yang terkesan akan isu ini. Pihak BPA masih berkeras untuk meneruskan denda. Kelihatan seolah-olah kaedah menghukum ini dijadikan sebagai jalan singkat untuk menjana pendapatan dengan segera. Adakah universiti tempat lahirnya modal insan  turut digunakan untuk menjana pendapatan waima terhadap para pelajar sekalipun?

Kebajikan mahasiswa dinafikan dan diambil enteng oleh pihak pengurusan universiti. Nilai RM 50.00 itu besar ertinya bagi pelajar universiti terutamanya dalam melalui semester akhir yang memerlukan kos yang tinggi. Rata-rata pelajar tahun akhir yang akan menjalani latihan industri ini juga tidak mendapat elaun dan harus menanggung sendiri segala kos perjalanan dan sebagainya. Denda yang dikenakan ini sudah pasti menambah beban pelajar-pelajar tahun akhir.

Kami Republican berharap pihak universiti mengambil serius akan perkara ini. Kebajikan mahasiswa di universiti ini tetap harus diutamakan dalam apa jua aspek. Semoga universiti 'rakyat' ini tetap mengekalkan identiti terutamanya dalam menjaga kebajikan mahasiswa di republik varsiti ini.


#KamiRepublican
#RepublicMahasiswa
#HentikanPenindasanPadaMahasiswa

No comments:

Post a Comment

Pages