BERAPA RAMAI LAGI PERLU TERKORBAN?



1. Kebelakangan ini kita sering dikejutkan dengan kes kemalangan yang melibatkan pemandu kereta bawah pengaruh alkohol. Perkara yang tidak boleh diterima adalah tindakan kerajaan terhadap pemandu-pemandu ‘mabuk’ dari segi undang-undang.

2. Kes terkini, seorang suspek berusia 46 tahun telah ditahan selepas merempuh 11 kenderaan, termasuk sebuah motosikal di Klang, Selangor. Terdahulu, telah berlaku kes yang sama di mana salah seorang mangsa dalam kemalangan tersebut telah disahkan meninggal dunia. Manakala dua orang lagi dilaporkan cedera apabila beberapa motosikal ‘disauk’ dari arah bertentangan oleh pemandu Ford Ranger yang dipercayai berada bawah pengaruh alkohol.

3. Apa yang lebih mengejutkan lagi ialah dua kes tersebut berlaku dalam tempoh masa tidak lebih seminggu. Pemandu yang mabuk bukan sahaja membahayakan diri mereka namun insan di sekeliling mereka juga. Golongan ini tidak akan sedar sehingga satu hukuman yang berat dikenakan kepada mereka.

4. Kami Republican UKM mengharapkan supaya kerajaan meminda semula Akta 333 khususnya melibatkan hukuman bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. Berdasarkan Seksyen 41 dan 44 akta tersebut, hukuman maksimum bagi pesalah terbabit ialah penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.

5. Berbaloikah jumlah ringgit denda yang dikenakan dengan nyawa yang melayang? Apakah yang akan menimpa nasib kanak-kanak yang menjadi anak yatim piatu dek kerana sikap pemandu mabuk ini? Jikalau mangsa yang terkorban itu ialah harapan keluarga khususnya golongan yang berpendapatan rendah, apakah yang akan terjadi kepada keluarga beliau? Siapa pula yang akan memberi bantuan secara mental dan emosi kepada para keluarga mangsa? Hal ini bukannya suatu perkara yang boleh dipandang remeh namun ia memerlukan tindakan komprehensif dari pihak Kerajaan. Namun, mengapa Menteri Pengangkutan masih berdiam diri dan belum meminda Akta 333?

6. Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) turut berkongsi pandangan sama apabila Pengerusinya, Mohammad Hisham Shafie menggesa Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dikaji semula untuk menetapkan lebih hukuman berat kepada pemandu mabuk. Menurutnya, mereka mendapati bahawa daripada 10 kemalangan, dua atau tiga dikesan membabitkan pemandu mabuk dan ini tidak seharusnya berlaku. Bagaimana pemandu mabuk dikenakan hukuman penjara mandatori antara tiga hingga 10 tahun dan denda RM 8,000 hingga RM 20,000 sedangkan di satu pihak lagi kehilangan nyawa?

7. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan untuk memperkasakan akta sedia ada bagi memberi hukuman yang lebih setimpal kepada mereka yang memandu bawah pengaruh alcohol. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata , pihaknya akan berbincang secara lebih lanjut dari segi perundangan dan sebagainya sebelum perkara itu dibawa ke Kementerian Pengangkutan.Denda yang ada sekarang. Menurutnya, denda yang ada sekarang terlalu rendah iaitu RM300 dan kita cadangkan mungkin jumlah itu ditingkatkan dari RM1,000 hingga RM5,000,” katanya dalam siding akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 24 Januari 2020.

8. Republican UKM menyambut baik usaha PDRM untuk mengutarakan cadangan tersebut kepada Kementerian Pengangkutan. Kami juga tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak pihak yang berwajib untuk mengambil tindakan ke atas pemandu mabuk yang telah membahayakan orang ramai. Selagi tiada hukuman yang keras terhadap pemandu mabuk ini, selagi itulah nyawa tidak berdosa akan melayang.

9. Ada beberapa cadangan daripada pihak kami yang mungkin dapat membantu mengurangkan kes-kes seperti ini daripada terus berlaku. Kami menyokong Gerakan Lindungi Nyawa dari Pemandu Mabuk (LAWAN) dengan menuntut beberapa perkara seperti :-
a) Haramkan aktiviti meminum arak di tempat terbuka
b) Hukuman penjara 20 tahun mandatori untuk pemandu mabuk
c) Hukuman mati mandatori untuk pemandu mabuk yang menyebabkan kematian pihak lain.


10. Republican UKM juga ingin menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan mangsa kejadian kemalangan yang hampir tiap minggu berlaku kerana sikap pemandu mabuk yang tidak bertanggungjawab. Sekali lagi kami ingin menyatakan pendirian kami iaitu supaya kerajaan bertindak dengan cekap dan pantas bagi mengendalikan kejadian-kejadian seperti ini supaya tiada lagi nyawa insan berdosa yang melayang kerana kerakusan nafsu pemandu mabuk.

11. Persoalan daripada kami Republican UKM, “berapa ramai lagi perlu terkorban?”


Ilmu Mutu dan Budi
Itulah Harga Diri
Hidup Siswa Siswi
Harapan Ibu Pertiwi


Varsiti Ini Republik Kita



No comments:

Post a Comment

Pages